30 persatuan perubatan sokong larangan merokok di tempat makan

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye mengumumkan baru-baru ini kawasan terbuka seperti tempat makan harus dijadikan sebagai kawasan larangan merokok.

30 persatuan perubatan sokong larangan merokok di tempat makan

12 Sep 2018

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 persatuan perubatan telah menandatangani sebuah surat terbuka menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan dalam mewartakan tempat makan terbuka sebagai kawasan larangan merokok.

Pada 5 September lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye mengumumkan bahawa kawasan terbuka seperti tempat makan harus dijadikan sebagai kawasan larangan merokok.

Namun begitu, telah dapat beberapa pihak yang menyatakan bahawa tindakan kerajaan adalah sedikit radikal dan kurang sesuai untuk dilaksanakan kerana orang awam harus diberikan hak bersama dalam isu ini.

Susulan tindakan kerajaan untuk menjadikan tempat makan awam sebagai kawasan larangan merokok, beberapa persatuan perubatan telah menyatakan sokongan mereka dalam hal ini melalui satu surat terbuka kepada masyarakat Malaysia.

 

BERIKUT ADALAH SURAT TERBUKA OLEH PERSATUAN-PERSATUAN PERUBATAN MALAYSIA :


Surat terbuka ini adalah bertujuan untuk menyatakan sokongan kami di atas pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini melalui Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye bahawa Kementerian merancang untuk mewartakan Tempat Makan Terbuka sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Kami amat bersetuju dengan kenyataan Dr Lee bahawa pewartaan kawasan larangan merokok ini adalah bertujuan untuk melindungi orang awam dari bahaya asap rokok sekunder.

Satu daripada dua orang perokok akan mati akibat penggunaan tembakau dan produk tembakau. Meskipun tindakan merokok akan menyebabkan kesan sampingan ke atas diri perokok itu sendiri, kajian telah menunjukkan bukan perokok sahaja terkesan dengan bahaya asap rokok malah orang ramai di sekeliling berisiko untuk mendapat pelbagai penyakit hasil akibat menyedut asap rokok ini.

Asap rokok mengandungi lebih dari 7000 bahan kimia. Sesetengahnya merupakan bahan karsinogenik atau penyebab kanser. Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa asap rokok boleh menyebabkan penyakit jantung koronari pada usia muda. Selain itu juga, pendedahan terhadap asap rokok dapat menyebabkan kanser paru-paru pada orang yang tidak merokok, serta risiko penyakit angin ahmar / stroke.

Wanita dan kanak-kanak merupakan mangsa utama kepada pendedahan asap rokok terutama di tempat awam dan seringkali luahan hati mereka tidak diendahkan. Kesan sampingan terhadap golongan wanita dan kanak-kanak sering terjadi seperti contoh serangan asthma yang kerap dan teruk. Asap rokok juga meningkatkan prevalen jangkitan saluran nafas, jangkitan telinga, kelahiran bayi pra matang dan kurang berat badan serta kematian mengejut pada bayi dan kanak- kanak.

Perlu ditekankan di sini bahawa tidak ada tahap selamat bagi pendedahan kepada asap rokok.
Dengan mengambil kira perkara- perkara tersebut, banyak kerajaan di serata dunia telah mengambil tindakan bagi melindungi rakyatnya dari kemudaratan asap rokok sekunder. Seperti contoh: England telah membuat suatu polisi yang menyatakan tempat bekerja adalah kawasan larangan merokok, berkuatkuasa dari 1 Julai 2007.

Ini merupakan susulan daripada Akta yang terpakai di sana iaitu Health Act 2006.

Analisa yang telah dijalankan susulan pengenaan larangan tersebut menunjukkan bahawa terdapat pengurangan dari segi bilangan pesakit yang dirawat di hospital akibat serangan jantung, iaitu sebanyak 42% bagi pesakit lelaki dan 43% bagi pesakit wanita.

Kadar kemasukan wad bagi pesakit asma juga berkurang. Sementara itu, di Amerika Syarikat, penurunan peratusan pesakit angin ahmar dilaporkan di negeri yang memperkenalkan larangan merokok, dibandingkan negeri-negeri lain yang tidak melaksanakan larangan merokok.

Kajian-kajian ini menunjukkan bukti kukuh bahawa polisi yang betul akan menyelamatkan nyawa dan mengurangkan masalah kesihatan fizikal, mental dan emosi yang berlaku akibat menanggung sesuatu penyakit.

Seringkali kita mendengar kenyataan bahawa larangan tempat merokok akan memberi impak negatif kepada perniagaan dari sudut ekonomi. Pada hakikatnya ini tidak berlaku memandangkan terdapat bukti yang menyatakan hal yang sebaliknya.

Di England, perniagaan restoran telah berkembang sejak larangan merokok diperkenalkan, di mana pengusaha telah meningkatkan kualiti makanan serta berusaha menarik minat pelanggan yang berkeluarga terutama dengan anak yang masih kecil. Sebelum ini golongan keluarga akan mengelak masuk restoran di mana anak-anak kecil akan terdedah kepada asap rokok.

Kami ingin mengucapkan tahniah pada kerajaan baru yang mengambil berat usaha-usaha untuk mencegah penyakit dan sentiasa berusaha untuk membendung dan mengawal factor risiko utama yang menyebabkan Penyakit Tidak Berjangkit. Kami amat berharap Dr Lee bersama-sama YB Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, akan dapat mewartakan larangan merokok ini seperti yang dicadangkan.

Tembakau merupakan barang dagangan yang sah walaupun ia membunuh separuh daripada penggunanya serta orang disekeliling Pngurangan impak dari asap rokok sekunder akan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengurangkan beban kos keksihatan yang akan ditanggung oleh kerajaan.

Kami yang menjalankan amanah,

  • Academy of Medicine of Malaysia

  • Academy of Medicine of Malaysia - College of Surgeons

  • Academy of Medicine of Malaysia - College of Physicians

  • Addiction Medicine Association of Malaysia

  • Asthma Malaysia

  • Family Medicine Specialists Association of Malaysia

  • Federation of Private Medical Practitioners’ Associations Malaysia Islamic Medical Association of Malaysia

  • Lung Foundation of Malaysia

  • Malaysian Association for Bronchology and Interventional Pulmonology Malaysian Association of Thoracic and Cardiovascular Surgery Malaysian Council for Tobacco Control

  • Malaysian Medical Association

  • Malaysian Medics International

  • Malaysian Oncological Society

  • Malaysian Paediatric Association

  • Malaysian Psychiatric Association

  • Malaysian Society of Geriatric Medicine

  • Malaysian Thoracic Society

  • Medical Mythbusters Malaysia

  • Medical Practitioners Coalition Association Of Malaysia

  • Medical Tweet Malaysia

  • National Cancer Society of Malaysia

  • National Heart Association of Malaysia

  • Obstetrical and Gynaecological Society of Malaysia

  • Perinatal Society of Malaysia

  • Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia

  • Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia

  • Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia

  • Vascular Society of Malaysia

-

Article Source : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/30-persatuan-perubatan-sokong-...

Picture Source : http://www.astroawani.com | File Pic