Amalan baharu urus penyakit asma bagi golongan dewasa

Amalan baharu urus penyakit asma bagi golongan dewasa

23 Oct 2018

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan versi terkini garis panduan amalan klinikal (CPG) yang dikeluarkan pada 2002, untuk menguruskan penyakit asma golongan dewasa bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang yang menguruskan penyakit berkenaan.

Ini membolehkan pesakit didiagnosis dengan betul dan memulakan ubat yang sesuai.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 16 tahun lepas, terdapat banyak perkembangan baru, terutamanya dalam algoritma rawatan dan kemunculan rawatan farmakologi baru seperti biologi, serta rawatan bronkoskopik seperti 'termoplasty bronkial'.

"CPG baru menekankan diagnosis dan penilaian asma, dan laluan rawatan untuk asma yang stabil dan akut di semua peringkat penjagaan kesihatan. Ia juga termasuk pelan tindakan asma bertulis untuk membantu penyedia penjagaan kesihatan dan pesakit dalam menguruskan penyakit ini.

"Penjagaan kumpulan khusus seperti asma semasa kehamilan, asma pekerjaan dan asma dengan penyakit morbiditi dibincangkan secara terperinci, manakala alat inhaler yang berbeza dan teknik yang betul menggunakannya juga dipaparkan dalam CPG," katanya.

Dr Noor Hisham berkata Hospital Serdang merupakan hospital pertama di Malaysia dan antara beberapa pusat pertama di Asia yang menawarkan termoplasty bronkial sejak lima tahun lalu.

Asma adalah penyakit pernafasan biasa yang menjejaskan sehingga 235 juta orang di seluruh dunia. Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang diterbitkan pada 2014, kematian akibat asma di Malaysia mencecah 1,642 atau 1.29 peratus daripada jumlah kematian.

Asma boleh berkembang di mana-mana peringkat kehidupan termasuk dewasa. Gejala biasa termasuk batuk, sesak nafas dan sesak dada akibat keradangan kronik.

-

Article Source: http://www.kosmo.com.my/terkini/amalan-baharu-urus-penyakit-asma-bagi-go...

Picture Source: http://www.kosmo.com.my | File Pic