Restoran terbuka, Parlimen bakal diwarta kawasan larangan merokok

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye

Restoran terbuka, Parlimen bakal diwarta kawasan larangan merokok

06 Sep 2018

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Mulai Disember tahun ini, semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan berhubung cadangan berkenaan.

Katanya, langkah ini merupakan inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

“Pewartaan ini adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia juga merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam dari bahaya asap rokok.

“Saya memohon sokongan anda semua. Jika peraturan ini tidak dipatuhi, boleh dikenakan denda RM10,000 dan penjara tidak lebih dua tahun,” katanya sewaktu menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kesihatan dalam sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Tambah Boon Chye, selain restoran terbuka, pihaknya turut mencadangkan bilik merokok di Parlimen ditutup mulai Oktober ini bagi menjadikan keseluruhan kawasan berkenaan sebagai bebas merokok.

-

Article Source : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/restoran-terbuka-parlimen-bakal-d...

Picture Source : Utusan Online File Pic