Usah 'buang' inhaler

Usah 'buang' inhaler

10 Jul 2018

Meskipun hebahan umum berhubung penyakit asma sering dilakukan oleh pakar perubatan, malangnya masih terdapat ramai pesakit membuat keputusan untuk memberhentikan penggunaan pam atau inhaler atas faktor tidak ingin ketagih ataupun tidak inginkan diri menjadi lemah.

Pakar Perunding Respiratori Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Helmy Haja Mydin berkata, tindakan seumpama ini tidak wajar memandangkan secara saintifiknya inhaler untuk penyakit asma tidak membawa kepada ketagihan kepada sesiapa yang menggunakannya.

“Ia juga tidak melemahkan paru-paru, malah memberikan kesan yang sebaliknya dengan membolehkan pengguna bernafas dengan lebih selesa dan seterusnya mampu melakukan aktiviti fizikal dengan lebih lasak.

“Selain menggugat kesihatan, penyakit asma yang tidak terkawal juga boleh membawa kesan negatif kepada ekonomi negara memandangkan pekerja yang menghadapi penyakit ini terpaksa sering mengambil cuti sakit dan penyakit asma turut memberikan bebanan terhadap kos penginapan di hospital.

“Rancangan dan pekerjaan ibu bapa juga sering terganggu akibat kadar ketidakhadiran pelajar ke sekolah kerana penyakit asma,” katanya.

Asma ialah penyakit kronik yang membawa radang atau gangguan kepada saluran pernafasan individu yang menghidapinya. Radang ini mampu menjadikan saluran pernafasan bengkak dan seterusnya boleh mengakibatkan pesakit asma menjadi lebih sensitif terhadap persekitaran.

Sehingga kini, golongan pakar perubatan dunia masih tidak dapat mengenal pasti punca asma hanya dihidapi oleh sesetengah individu.

Namun begitu, terdapat beberapa pendapat yang mengatakan perkara ini berkaitan dengan faktor genetik atau keturunan serta faktor persekitaran seperti pencemaran udara dan asap rokok.

Sesetengah individu pula hanya menunjukkan simptom yang berkaitan apabila mereka melakukan aktiviti atau senaman secara intensif atau terdedah kepada elemen yang boleh mencetus alahan seperti bulu kucing.

Menurut Dr Helmy, apabila seseorang individu diserang asma, radang akan menyebabkan otot di sekeliling saluran pernafasan mengembang dan seterusnya menyempitkan saluran terbabit.

Fenomena ini katanya, akan menimbulkan simptom seperti lelah, semput, batuk dan pengeluaran kahak secara berlebihan pada waktu malam sehingga menimbulkan gangguan semasa tidur.

“Simptom dan tahap serangan asma berbeza bagi setiap individu yang dijangkiti. Kadang-kadang, ia bergantung kepada

faktor persekitaran. Bagi sesetengah individu yang sensitif, serangan asma lebih mudah berlaku apabila saluran pernafasan terdedah kepada bendasing kotor seperti lipas, habuk dan jerebu.

“Selain itu, perubahan suhu yang drastik dalam suatu jangka masa yang pendek seperti situasi berjalan masuk dari lokasi luar yang bercuaca panas ke dalam sebuah bilik berhawa dingin turut mampu mencetuskan simptom asma.

“Sekiranya serangan asma itu serius sehingga mampu membuatkan seseorang individu kelihatan letih, semput, bernafas dengan laju atau tidak mampu bertutur dengan lancar, disarankan agar individu terbabit berjumpa doktor dalam kadar serta-merta.

“Seseorang yang menunjukkan simptom seperti hanya terbatuk-batuk tetapi tidak mempunyai masalah pernafasan tidak wajar dipandang ringan dan tetap perlu dirujuk kepada doktor atau pakar perubatan bagi rawatan lanjut agar simptom yang dihadapi tidak akan menjadi lebih mudarat,” katanya.

Dia berkata, lazimnya, rawatan yang diperlukan oleh seseorang pesakit asma adalah melalui inhaler. Setelah doktor mengesahkan seseorang itu benar-benar menghidap penyakit asma, inhaler akan disyorkan demi membantu mengurangkan simptom.

Menurutnya, meskipun tiada rawatan yang mampu menyembuhkan penyakit asma secara sepenuhnya, inhaler tetap perlu digunakan dengan betul serta sentiasa disimpan bersama pesakit untuk digunakan semasa serangan berlaku.

“Kajian menunjukkan hanya enam peratus pesakit asma di Malaysia mempunyai tahap penyakit yang ‘terkawal’. Pesakit asma yang lain mungkin tidak dapat tidur lena atau selesa pada waktu malam, terpaksa menggunakan inhaler biru pada kadar lebih daripada dua kali seminggu, tidak dapat melakukan aktiviti seharian atau sering diserang simptom asma,” katanya.

Kebanyakan pesakit asma akan diberi dua jenis inhaler iaitu inhaler berwarna biru yang mengandungi salbutamol dan inhaler yang mengandungi ubat steroid.

Salbutamol ialah ubat yang digunakan untuk meringankan simptom dalam kadar serta-merta tetapi kesannya hanya bersifat sementara manakala inhaler steroid berupaya mengurangkan punca asma yang kronik melalui kawalan terhadap tahap radang di dalam paru-paru pesakit.

Penggunaan inhaler yang mengandungi steroid amat penting dan tidak wajar diberhentikan tanpa nasihat doktor kerana serangan penyakit asma boleh berulang.

Situasi ini lebih kritikal untuk kanak-kanak yang menghidap asma. Oleh itu ibu bapa perlu memberikan perhatian lebih kepada tahap kesihatan kanak-kanak memandangkan penyakit asma akan menjadi lebih mudarat sekiranya tidak dikawal dengan teratur, lebih-lebih lagi dengan persekitaran semasa Malaysia yang kerap menghadapai fenomena jerebu.

“Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlu prihatin terhadap tahap kesihatan masing-masing serta tidak boleh memandang enteng terhadap simptom penyakit asma. Pesakit asma patut mengelakkan keadaan yang boleh memudaratkan seperti asap rokok dan yang paling penting, tidak berhenti menggunakan inhaler melainkan jika dinasihati doktor,” katanya.

Dia turut menyarankan agar kes dirujuk kepada pakar kesihatan untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan lanjut sekiranya terdapat tanda berkaitan dihadapi pesakit demi memastikan risiko yang dihadapi dapat dikurangkan pada peringkat awal dan mampu mengembalikan kualiti hidup sihat semula.

SourceArticle : https://www.hmetro.com.my/node/149997?m=1# | Yusliza Yakimir Abd Talib