Asma dan Senaman

×

Mesaj ralat

Deprecated function: The each() function is deprecated. This message will be suppressed on further calls dalam menu_set_active_trail() (baris 2405 dari /home/asthmama/domains/asthmamalaysia.org/public_html/includes/menu.inc).

Setiap orang perlu bersenam. Walaubagaimanapun, senaman boleh mencetuskan simptom-simptom asma pada sesetengah pesakit. Malah, sesetengah dari kita hanya akan menunjukkan simptom asma semasa melakukan senaman. Walaupun begitu, pengawalan yang baik dan mengikuti beberapa peraturan asas akan membolehkan anda bersenam secara normal. Malah atlet profesional juga boleh mengidap asma, tetapi ia tidak menghalang mereka. Antara atlet-atlet terkenal yang mengidap asma adalah Bradley Wiggins (pemenang Tour de France), Paula Radcliffe (pemegang rekod dunia maraton wanita) dan perenang Olimpik negara kita Welson Sim.

 

Bersenam mempunyai dua peranan penting dalam konteks paru-paru. Ia membolehkan anda meningkatkan fungsi stamina dan paru-paru, sehingga membolehkan anda melakukan lebih banyak pergerakan dan meningkatkan kecergasan. Kedua, ia membantu mengekalkan berat badan yang ideal. Pesakit yang berlebihan berat badan atau gemuk lebih cenderung kepada pengawalan asma yang lemah.

Asma yang disebabkan oleh senaman boleh menjejaskan sesiapa sahaja - kanak-kanak, ahli sukan rekreasi mahupun profesional. Kecenderungannya boleh dikesan dan mendatangkan masalah dalam sukan-sukan tahan lasak seperti larian jarak jauh dan berbasikal. Ia juga bergantung pada sifat sukan itu - mereka yang terdedah kepada udara sejuk, pencemaran dan bahan kimia sewaktu menjalankan aktiviti akan lebih cenderung untuk menunjukkan simptom. Contohnya perenang sentiasa terdedah kepada bahan kimia yang terdapat di dalam kolam renang dan pengayuh basikal mungkin dipengaruhi oleh pencemaran udara.

Terdapat pelbagai teori tentang mengapa senaman menyebabkan serangan asma. Salah satunya ialah seseorang itu bernafas dengan lebih cepat ketika mereka bersenam, udara yang mereka hidu mungkin lebih sejuk dan kering (selalunya ia tidak melalui hidung) dan kombinasi ini dianggap sebagai pencetus.

 

Bagi kebanyakan orang, cara diagnosis yang paling pragmatik adalah pengiktirafan simptom yang timbul semasa senaman. Ini termasuk simptom-simptom yang lazim dijumpai seperti sesak nafas, batuk, ketegangan dalam dada dan nafas (wheezing). Ini semua selalunya akan hilang selepas rehat atau selepas penggunaan ubat sedutan pelega.

Ada yang memerlukan diagnosis yang lebih objektif dan tepat, terutamanya atlet profesional - penggunaan ubat asma mungkin akan menjejaskan kemampuan mereka untuk bersaing. Pemeriksaan mencabar saluran udara dengan ejen-ejen untuk mencari sensitiviti saluran udara dan ujian semasa senaman juga mungkin akan dilakukan.

 

Semasa bersenam, anda hendaklah meningkatkan tahap pergerakan dengan kadar yang perlahan dan mantap. Pastikan anda memaklumkan pada jurulatih dan kawan anda tentang kondisi anda supaya mereka boleh berikan bantuan jika perlu.

Panaskan badan sebelum memulakan senaman
Memanaskan badan sebelum bersenam telah terbukti dapat membantu mengurangkan tahap serangan asma dan harus dilakukan oleh pengidap asma.

Elakkan pendedahan terhadap pencetus
Mengelak daripada pencetus lain juga akan membantu mengelakkan serangan asma yang lebih teruk.

Mengambil ubat yang diperlukan
Perkara yang paling penting ialah penggunaan ubat tetap dan sesuai untuk asma anda. Jika senaman benar-benar mengakibatkan simptom, ubat sedutan pelega perlu diambil sebelum pemanasan badan dan juga perlu dibawa semasa senaman. Anda harus hentikan senaman jika anda mengalami simptom-simptom yang berterusan dan ketara, di mana ketika ini berehat dan mengambil sekali lagi ubat sedutan pelega akan membawa kepada penambahbaikan.

Ubat untuk mengawal asma dengan lebih baik
Steroid sedutan dan montelukast merupakan antara yang lebih kerap digunakan untuk kawalan yang lebih sempurna. Bukti telah menunjukkan bahawa mungkin terdapat peranan dalam gabungan ubat-ubat sedutan (sedutaan kortikosteroid + bronkodilator bertindak panjang) dalam pengawalan asma yang diakibatkan oleh senaman. Doktor anda akan menasihatkan anda tentang perkara ini dengan lebih lanjut.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menegaskan supaya bukti makmal dan klinikal dikemukakan di kalangan atlet profesional yang perlu menggunakan ubat sedutan mereka semasa bertanding. Agensi Anti-Dadah Dunia menyediakan bimbingan tentang penggunaan ubat-ubatan dalam konteks senaman yang mengakibatkan asma. Ada sesetengah yang mungkin perlukan kebenaran khas untuk digunakan. Ini akan dikeluarkan oleh doktor yang biasa dengan piawaian tersebut.

Minoriti pengidap asma mungkin mengalami simptom-simpton asma semasa mengadakan hubungan seksual. Aktiviti seksual mungkin meningkatkan kelajuan pernafasan dan pengidap asma juga mungkin terdedah dengan beberapa pencetus lain. Kawalan asma yang kurang baik mungkin juga boleh meningkatkan tahap stres yang terlibat (contohnya jika anda terlalu fokus untuk menahan batuk).

Seperti biasa, pengawalan asma yang baik dapat mengurangkan masalah yang boleh timbul. Hubungan seks haruslah dianggap seperti satu bentuk senaman - menggunakan ubat sedutan terlebih dahulu dan menyimpannya di tempat yang mudah untuk dicapai amatlah berguna. Ia juga penting untuk mengetahui kemungkinan alahan terhadap lateks, kerana kebanyakkan kondom mengandungi lateks.