Asma dan Kehamilan

×

Mesaj ralat

Deprecated function: The each() function is deprecated. This message will be suppressed on further calls dalam menu_set_active_trail() (baris 2405 dari /home/asthmama/domains/asthmamalaysia.org/public_html/includes/menu.inc).

Anda baru sahaja mendapati anda hamil - Tahniah! Tetapi anda pengidap asma - bagaimana ia akan menjejaskan kehamilan anda?

Agak sukar untuk meramal bagaimana kehamilan akan menjejaskan asma anda kerana ia adalah berbeza bagi setiap wanita.

Paling penting sekali anda perlu ingat bahawa ubat-ubatan asma yang biasa digunakan adalah SELAMAT untuk diambil semasa hamil.

Anda baru sahaja mendapati bahawa anda hamil - apakah langkah seterusnya?
Pastikan anda membuat temu janji untuk bertemu doktor anda dan semak semula rawatan asma anda. Memastikan anda mempunyai kawalan asma yang baik sepanjang kehamilan adalah penting untuk memastikan anda bersalin dengan selamat.

Mengawal asma anda sepanjang tempoh kehamilan

  • Pengawalan asma yang baik boleh dicapai dengan memastikan anda mengambil ubat sedutan asma dan ubat-ubatan seperti yang telah dipreskripsika.   
  • Dapatkan pemeriksaan dengan doktor anda setiap 4-6 minggu sepanjang kehamilan anda  
  • Maklumkan pada pakar obstetrik anda bahawa anda mempunyai asma.   
  • Sekiranya anda mempunyai simptom-simptom asma yang berterusan, anda mungkin perlu berjumpa dengan pakar asma yang akan mengawasi anda sepanjang tempoh kehamilan.
  • Pastikan anda mempunyai pelan tindakan asma supaya anda mempunyai satu pelan pengurusan yang jelas untuk asma anda sepanjang tempoh kehamilan

Jangan merokok
Merokok tidak bagus untuk asma anda, bayi anda dan untuk diri anda secara umumnya. Merokok boleh meningkatkan risiko keguguran dan kelahiran pramatang - jika bayi anda dilahirkan lebih awal, kemungkinan paru-paru bayi anda tidak berkembang sepenuhnya dan akan membawa kepada risiko nafas berdehit (wheezing) dan masalah paru-paru lain di kemudian hari.

Jaga pemakanan anda
Tiada sekatan atau pantang untuk apa yang boleh anda makan. Nasihat terbaik ialah untuk anda mengamalkan pemakanan seimbang yang sihat.

Ubat-ubatan asma adalah selamat untuk diambil semasa hamil. Risikonya lebih besar kepada anda dan kandungan jika anda tidak mengambil rawatan asma dan ianya menjadi lebih teruk. Ini termasuk ubat sedutan - pelega dan pencegah, dan tablet steroid.

Ubat antagonis reseptor leukotrien (montelukast atau singulair) biasanya tidak akan dimulakan semasa hamil TETAPI jika anda telah mula mengambilnya sebelum anda hamil dan asma anda dapat dikawal dengan baik, doktor anda akan menasihatkan anda supaya terus mengambilnya kerana pengawalan asma yang baik amatlah penting di sepanjang tempoh kehamilan.

Jika anda mempunyai apa-apa kemusykilan tentang ubat-ubatan yang anda ambil atau tahap pengawalan asma anda semasa hamil, sila buat temu janji dengan doktor anda dan dapatkan nasihat perubatan yang sesuai.

 

Sekiranya anda mendapati simptom-simptom asma anda bertambah teruk, buatlah temu janji untuk berjumpa dengan doktor atau doktor pakar anda. Anda mungkin memerlukan perubahan ubat untuk mengawal simptom anda. Anda mungkin juga perlu berjumpa seorang pakar respiratori untuk mendapatkan rawatan usul sepanjang tempoh kehamilan anda.

Mengalami serangan asma sama ada anda sedang hamil atau tidak TETAP diambil kira sebagai kecemasan perubatan. Anda perlu dapatkan nasihat perubatan secepat mungkin dengan berjumpa dengan doktor anda atau pergi ke Unit Kecemasan di hospital berdekatan dengan anda.

 

Asma di kalangan kanak-kanak

Kanak-kanak yang mengidap asma mempunyai saluran pernafasan yang sensitif. Apabila mereka terdedah kepada pencetus seperti jangkitan virus, asap rokok, bulu haiwan, senaman atau perubahan suhu secara tiba-tiba, saluran pernafasan di dalam paru-paru kanak-kanak akan menjadi sempit dan membengkak, yang akan mengakibatkan kesukaran untuk bernafas. Ini dipanggil serangan asma.

Semasa serangan asma, tiga perkara ini berlaku dalam saluran udara seorang kanak-kanak pengidap asma:

  • Otot-otot di dinding saluran udara menguncup dan mengakibatkannya sempit.
  • Pembengkakan berlaku di lapisan dalam saluran udara, menjadikannya lebih sempit.
  • Lendir yang berlebihan dihasilkan di dalam saluran udara

Semua perubahan ini menjadikan saluran udara semakin sempit, terutamanya semasa menghembuskan nafas, yang membuatkan lebih sukar untuk kanak-kanak untuk bernafas.

Kanak-kanak mungkin akan mula batuk tanpa henti, nafas berdehit (wheezing), atau bernafas lebih cepat, dengan peningkatan upaya. Perubahan yang berlaku ketika serangan asma boleh diterbalikkan dan boleh diperbaiki dengan rawatan perubatan. Semasa dalam serangan, kanak-kanak sering tidak menunjukkan simptom.

Masih tiada ubat penyembuh untuk penyakit asma. Walau bagaimanapun, dengan rawatan dan penjagaan yang betul, kanak-kanak yang menghidap asma boleh menjalani kehidupan normal, dan mengambil bahagian dalam acara sukan dan aktiviti fizikal seperti kanak-kanak lain.

 

Asma adalah perkara biasa. Hampir 10% kanak-kanak usia persekolahan mengidap asma, menurut kajian terkini. Kanak-kanak yang mempunyai asma mungkin mempunyai beberapa atau semua simptom dan ciri-ciri berikut:

Nafas berdehit (wheezing)
Simptom paling biasa yang didapati dari kalangan kanak-kanak yang mengidap asma
Batuk
Lebih kerap di sebelah malam atau awal pagi.
Kesukaran untuk bernafas, bernafas dengan laju, kesempitan dada
Simptom-simptom ini mungkin dicetuskan oleh jangkitan virus, asap atau faktor-faktor lain yang disebutkan sebelumya dan boleh diklasifikasikan dari ringan hingga teruk.
Kondisi-kondisi lain yang berkaitan
Seperti ekzema (kulit kering, kadang-kadang gatal, sensitif), alahan konjungtivitis (mata kering, gatal) atau alahan rinitis (hidung berair yang kerap, bersin dan hidung tersumbat selepas terdedah kepada pencetus seperti habuk atau asap).

Semasa serangan asma, anak anda mungkin akan mengalami beberapa simptom seperti berikut:

  • Batuk berterusan
  • Nafas berdehit (wheezing)
  • Nafas laju
  • Rasa ketat di dada, atau kesukaran bernafas
  • Kelihatan letih yang luar biasa, diam, kurang aktif seperti biasa
  • Tidak dapat habiskan satu ayat penuh bila bercakap kerana tercungap
  • Lubang hidung mengembang dan menguncup (lubang hidung kemerahan)
  • Kulit di bahagian bawah tulang rusuk, di antara tulang rusuk dan di panggal leher kelihatan seperti tersedut ke dalam apabila dia bernafas

Jika anak anda menunjukkan sifat-sifat sebegini, dan kelihatan tidak sihat, anda perlu bawanya berjumpa doktor. Jika anak anda kelihatan letih dan tertekan, anda perlu membawanya terus ke Unit Kecemasan. Serangan asma yang teruk mungkin membawa maut.

 

Serangan asma biasanya berlaku apabila kanak-kanak terdedah kepada pencetus. Pencetus pula berbeza dengan setiap individu. Satu cara untuk membantu mengurangkan serangan asma ialah dengan mengelakkan pencetus-pencetus ini.

Pencetus asma biasa di kalangan kanak-kanak termasuk:

  • Jangkitan virus. Lebih daripada 80% serangan asma pada kanak-kanak dicetuskan oleh jangkitan paru-paru, hidung dan tekak.
  • Perubahan mendadak pada suhu (contohnya bergerak daripada bilik berhawa dingin ke persekitaran yang panas atau sebaliknya).
  • Habuk, kutu debu rumah, bulu binatang dan pencetus alahan lain.
  • Senaman. Aktiviti fizikal juga boleh mengakibatkan simptom asma, tetapi kanak-kanak yang mengidap asma tidak perlu mengelakkan dari bersenam. Mereka boleh mengambil ubat sedutan pelega, sebelum mereka memulakan senaman, untuk mencegah atau mengurangkan simptom asma.
  • Asap rokok. Ini adalah pencetus asma paling utama. Kanak-kanak yang selalu terdedah dengan asap rokok sering mengalami simptom yang lebih teruk, serangan asma yang lebih kerap dan lebih teruk dan memerlukan lebih banyak ubat untuk mengawal asma mereka.

Sesetengah kanak-kanak yang mengidap asma memerlukan ubat biasa, dipanggil terapi pencegah, untuk menguatkan paru-paru mereka dan membantu mereka bebas dari serangan.

 

Rawatan untuk asma berbeza-beza bergantung kepada simptom kanak-kanak itu, berapa kerap ia berlaku dan berapa teruk serangan itu. Secara umumnya, matlamat sesebuah rawatan asma adalah untuk menggunakan ubat sekurang mungkin, untuk mencapai kawalan simptom-simptom asma dengan baik dan membolehkan kanak-kanak menjalani kehidupan yang normal dan aktif.

Ubatan-ubatan yang digunakan untuk asma boleh dibahagikan kepada dua jenis:

  • Ubat pelega

Ini diberikan untuk memberikan kelegaan kepada simptom-simptom asma, dengan mengurangkan kesempitan pada saluran udara. Ini menjadikan saluran udara lebih besar, membolehkan kanak-kanak bernafas dengan lebih mudah. Ubat pelega diberikan semasa serangan berlaku, dan apabila anak anda menunjukkan simptom seperti nafas berdehit (wheezing), batuk dan kesempitan pada dada. Kadang kala ia juga diberikan sebelum bersenam.

 

  • Ubat pencegah

Ia diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai simptom yang kerap atau berterusan, walaupun mereka tidak mengalami serangan. Ubat pencegah ini diambil setiap hari, sama ada kanak-kanak mengalami serangan asma atau tidak. Lama kelamaan, ubat ini akan membantu mengurangkan sensitif pada paru-paru, dan mengurangkan risiko serangan asma.

Ubat asma selalunya diberikan dalam bentuk aerosol atau serbuk yang disedut ke dalam paru-paru kanak-kanak. Kebanyakkan kanak-kanak perlu mengambil ubat sedut ini dengan bantuan alat yang dipanggil spacer. Terdapat banyak jenis spacer dan saiz. Amatlah penting bagi anda untuk dapatkan spacer yang sesuai dengan usia kanak-kanak, dan mengetahui cara menggunakannya dan menjaganya dengan betul.

Dengan pengurusan asma yang baik dan mengelakkan pencetus-pencetus asma, kebanyakkan kanak-kanak akan bertambah baik apabila mereka semakin besar. Sekiranya rawatan berjaya, paru-paru kanak-kanak akan berada dalam keadaan sihat, mereka boleh mengikuti aktiviti dan acara sukan di sekolah, dan akan mempunyai pertumbuhan dan perkembangan yang normal. Dengan penjagaan yang betul, ramai kanak-kanak yang mengidap asma tidak akan memerlukan ubat-ubatan asma apabila mereka masuk ke usia dewasa.