Mendiagnosiskan Asma

×

Mesaj ralat

Deprecated function: The each() function is deprecated. This message will be suppressed on further calls dalam menu_set_active_trail() (baris 2405 dari /home/asthmama/domains/asthmamalaysia.org/public_html/includes/menu.inc).

Asma adalah diagnosis klinikal. Dalam erti kata lain, simptom atau tanda-tanda dan penemuan klinikal digunakan untuk mendiagnosis kondisi seseorang. Jika anda mengesyaki bahawa anda ataupun anak anda mengidap asma, doktor anda akan dapat memberikan diagnosis berdasarkan sejarah perubatan dan keluarga anda, ujian fizikal dan keputusan dari ujian ke atas anda.

Doktor anda juga akan dapat memberitahu tahap keterukan asma anda. Tahap keterukan - sama ada ia kadang-kala, ringan, sederhana atau teruk - juga akan menentukan pilihan rawatan yang sesuai dengan keadaan anda.

Sejarah pesakit dan perubatan

Doktor anda mungkin akan bertanya tentang sejarah keluarga anda sama ada mereka mengidap asma ataupun apa-apa alahan. Dia juga mungkin akan bertanya sama ada anda mengalami apa-apa tanda asma, bagaimana dan bila ia berlaku.

Sejarah pesakit biasa mungkin termasuk:

  • Simptom atau tanda-tanda yang datang dan pergi, biasanya lebih teruk pada waktu malam.
  • Batuk
  • Nafas berdehit (wheezing)
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Simptom yang dicetuskan oleh benda-benda atau acara tertentu seperti bersenam, udara sejuk atau pendedahan kepada sebarang alergen (pencetus alergi).
  • Sejarah pesakit atau keluarga yang mengidap asma, rhinitis/resdung dan/atau ekzema
Ujian pernafasan

Doktor anda menjalankan ujian fungsi paru-paru yang dipanggil ujian spirometri untuk melihat sebaik mana paru-paru anda berfungsi. Ini adalah ujian meniup mudah yang akan dapat mengukur jumlah udara yang anda sedut; jumlah yang anda hembus dan betapa cepatnya anda boleh hembuskan nafas keluar dari paru-paru.

Doktor anda akan meminta anda mengulangi ujian spirometri semula selepas memberikan anda ubat (ubat sedutan atau nebuliser) yang mungkin membuka saluran udara anda. Tujuan langkah ini adalah untuk melihat jika saluran anda lebih luas setelah mengambil ubat dan jika fungsi paru-paru anda bertambah baik.

Jika keputusan ujian bertambah baik, ia akan bantu mengesahkan bahawa anda mengidap asma.

Walau bagaimanapun, anda masih boleh mengidap asma dengan fungsi paru-paru yang normal! Sebab itulah anda perlukan seorang doktor untuk mengesahkan diagnosis.

 

Peperiksaan fizikal

Doktor anda akan mendengar pernafasan anda dan cuba mencari sebarang simptom-simptom asma atau alahan. Simptom-simptom ini termasuklah nafas berdehit (wheezing), hidung berair atau saluran hidung bengkak, dan kondisi alahan kulit (seperti ekzema). Amatlah penting untuk anda mengambil perhatian bahawa anda masih boleh mengidap asma walaupun simptom-simptom ini tidak dikelihatan pada hari pemeriksaan fizikal dijalankan.

Doktor anda mungkin akan mengesyorkan ujian lain jika dia memerlukan lebih banyak maklumat untuk membuat diagnosis. Ujian lain mungkin termasuk:

  • Ujian bronko provokasi, ujian yang menggunakan spirometri untuk mengukur betapa sensitif saluran udara anda terhadap pencetus asma yang biasa
  • Elektrokardiogram (ECG) atau x ray dada yang memeriksa sama ada terdapat penyakit lain atau objek asing yang mungkin menyebabkan simptom yang anda alami
  • Ujian peti suara, penyakit refluks, atau apnea tidur untuk mengetahui sama ada anda mengidap kondisi lain dengan mempunyai simptom yang sama seperti asma
  • Ujian alahan untuk mengenal pasti alergen atau pencetus-pencetus asma yang menjejaskan anda