Soalan Lazim

Asma bukannya penyakit berjangkit. Walau bagaimanapun, ia boleh diwarisi. Jika ibu bapa atau adik beradik anda mempunyai asma, ekzema ataupun alergi rhinitis juga dikenali sebagai hay fever, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengidap asma. Seorang kanak-kanak mempunyai risiko tiga kali ganda untuk mengidap asma jika salah seorang dari ibu bapa mereka mengidap asma, dan risikonya berganda jika kedua-dua ibu bapa mereka mempunyai asma. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk anda maklum bahawa genetik adalah agak rumit - hanya kerana anda mengidap asma, tidak bermakna anak-anak anda akan mewarisi penyakit ini dengan automatik.

Tidak ada peraturan kukuh. Semua orang adalah berbeza - makanan atau minuman menjejaskan pesakit secara berbeza. Paling utama sekali anda sendiri kenal badan anda dan elakkan daripada makanan yang menimbulkan tindak balas. Makanan yang biasa mencetuskan tindak balas termasuklah kerang, udang, ketam, kacang dan buah tembikai.

Apabila ubat sedutan digunakan dengan betul, sedikit ubat akan memasuki saluran pencernaan. Oleh itu, penggunaan ubat sedutan tidak dibenarkan semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Pesakit beragama Islam dinasihatkan supaya menggunakan ubat sedutan pencegah sebelum matahari terbit dan pada waktu malam.

Walau bagaimanapun, difahami dalam Islam jika seorang pesakit memerlukan rawatan ubat yang berterusan sepanjang hari, mereka boleh dikecualikan daripada berpuasa. Sebagai gantian, mereka perlu membuat bayaran fidyah. Pesakit yang memerlukan penggunaan ubat sedutan sewaktu kecemasan, mereka dibolehkan untuk membatalkan puasa dengan pemahaman bahawa mereka akan menggantikan puasa sebaik sahaja mereka sihat.

Ubat sedutan corticosteroids (ICS)

Steroid boleh di ambil melalui ubat sedutan. Ubat-ubatan pencegah ini bertindak secara terus ke atas paru-paru - di mana ia diperlukan. Akibatnya, sangat sedikit yang diserap ke dalam badan. Ini mengurangkan kesan sampingan.

Juga perlu ditekankan bahawa ubat steroid yang disedut (ICS) adalah rawatan yang paling penting dalam pengurusan asma - ia adalah satu-satunya rawatan yang MENYELAMATKAN NYAWA. Jika asma anda tidak terkawal, maka anda perlu berada di bawah rawatan ubat ICS.

Semua ubat mempunyai potensi kesan sampingan. Dengan ICS, terdapat kemungkinan kecil anda akan mengalami sakit tekak, suara serak dan jangkitan tekak ringan. Risiko ini boleh dikurangkan dengan mengkumur mulut dan tekak selepas setiap sedutan. Menggunakan corong atau spacer juga boleh mengurangkan risiko seriawan.

Tablet Steroid

Tablet steroid biasanya digunakan untuk rawatan serangan asma atau untuk mengawal asma yang sangat sukar untuk dirawat. Ia tidak patut diambil sewenang-wenangnya. Oleh kerana potensi kesan sampingannya, dos dan tempoh rawatan biasanya diberikan pada tahap minima. Pengambilan untuk jangka masa pendek selalunya tidak memberii kesan sampingan. Dalam sesetengah keadaan, ia boleh menyebabkan pedih ulu hati, insomnia dan perubahan emosi. 

Pengambilan steroid jangka panjang boleh menyebabkan perkara-perkara berikut:

  • Peningkatan selera makan dan asyik berasa lapar (membawa kepada peningkatan berat badan)
  • Hiper-aktif (steroid perlu diambil pada waktu pagi dan bukan waktu petang)
  • Perubahan emosi atau mood
  • Kulit mudah lebam
  • Osteoporosis (kerapuhan tulang)
  • Menggemukkan muka
  • Kesukaran mengawal paras gula dalam darah, kadang kala membawa kepada kencing manis
  • Pedih ulu hati dan senak perut
  • Katarak

Jarang sekali berlaku, ada juga kes yang memerlukan pengambilan steroid buat jangka panjang. Doktor anda boleh memberi lebih banyak maklumat mengenai kesan sampingan yang disenaraikan di atas dan memberi nasihat bagaimana cara untuk mengawalnya. Ini termasuk berhenti merokok, mengambil tablet untuk menguatkan tulang dan senaman biasa yang menggunakan berat. Bagi sesetengah orang, alternatif kepada steroid mungkin diperlukan.