Kawan ataupun Lawan?

×

Mesaj ralat

Deprecated function: The each() function is deprecated. This message will be suppressed on further calls dalam menu_set_active_trail() (baris 2405 dari /home/asthmama/domains/asthmamalaysia.org/public_html/includes/menu.inc).

Pencetus ialah apa sahaja yang menyebabkan anda menunjukkan simptom asma atau yang membawa kepada serangan asma. Pencetus berbeza bagi setiap orang, dan memang biasa sekiranya seseorang itu mempunyai lebih daripada satu pencetus yang menyebabkan serangan asma.

Adalah penting untuk anda mengenali pencetus asma anda supaya anda boleh mengurangkan dan mengelakkan pendedahan, dan menjadikan asma anda lebih terkawal.

Berikut adalah beberapa pencetus asma yang biasa: 

Merokok

Pelbagai produk digunakan untuk merokok (contohnya vape, e-rokok, cerut dan shisha). Asap rokok mengandungi lebih daripada 4000 partikel yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti barah peparu.

Asap akan merengsakan permukaan saluran udara dan boleh mencetuskan asma. Pendedahan kepada asap rokok juga merupakan risiko punca asma pada kanak-kanak. Tubuh kanak-kanak masih dalam tahap perkembangan dan mereka bernafas lebih cepat daripada orang dewasa. Kedua-dua faktor ini menjadikan mereka lebih berisiko kepada kesan asap rokok.

Apa yang boleh dilakukan?
Jika anda masih lagi tidak boleh berhenti merokok, anda perlu
  • Jauhi dari merokok di tempat tertutup (restoran, dalam kereta dan sebagainya)
  • Jauhi dari merokok berdekatan dengan individu yang mempunyai asma
  • Jauhi dari merokok berdekatan kanak-kanak
Haiwan peliharaan

Asma sering dikaitkan dengan kucing, tetapi ia juga boleh dicetuskan oleh apa-apa haiwan seperti anjing dan tikus belanda. Pencetus tidak hanya terhad kepada bulu haiwan peliharaan - kepingan kulit, air liur, air kencing dan najis mereka juga memainkan peranan.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Elakkan dari haiwan peliharaan anda masuk ke dalam rumah
  • Bersihkan rumah anda dengan teliti jika anda membuat keputusan untuk meletakkan haiwan peliharaan anda di luar rumah
  • Pengasingan adalah satu pilihan bagi mereka yang merasa sukar untuk berpisah dengan haiwan kesayangan mereka. Semasa pengasingan, anda harus meletak haiwan peliharaan anda di luar rumah, di luar bilik tidur dan bersihkan rumah anda selalu (sebaiknya dilakukan ketika pesakit asma tidak berada di dalam rumah)
Lipas

Najis, air liur dan anggota badan lipas boleh mencetuskan reaksi alahan dan juga asma di kalangan sesetengah pesakit. Ini semua boleh hadir walaupun lipas tidak dikelihatan - mereka memang makhluk kecil yang licik!

Apa yang boleh dilakukan?
  • Pembersihan rutin (bersihkan lantai dan meja dengan kerap)
  • Simpan makanan dengan segera
  • Simpan makanan di dalam bekas kedap udara atau dalam peti sejuk secepat mungkin
  • Racun serangga boleh memainkan peranan, tetapi berhati-hati kerana racun itu sendiri boleh mencetuskan asma
Kutu debu

Najis dan anggota badan kutu debu boleh mencetuskan asma. Serangga ini amatlah kecil dan hadir di dalam setiap rumah. Mereka hidup dengan memakan kepingan kulit. Ia boleh didapati di dalam tilam, bantal, patung sumbat mainan, alas katil dan perabot.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Basuh alas tempat tidur dengan kerap pada suhu 60°C
  • Vakum permaidani dan perabot anda dengan kerap
  • Beli patung mainan yang boleh dibasuh (pastikan ia kering sepenuhnya)
Kulapuk

Kulapuk berasal dari kulat. Ia berkembang dengan kehadiran kelembapan. Kedua-dua kulapuk dan sporanya boleh mencetuskan asma.  Spora tersebar dengan berterbangan di udara.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Bersihkan semua kelapuk dan hapuskan sumber air yang melembapkan udara
  • Lakukan pemeriksaan untuk kehadiran kelapuk pada pancuran mandian dan alat  penghawa dingin
Bahan kimia

Bahan kimia yang digunakan di dalam rumah mungkin mengandungi perengsa dan mencetuskan asma. Ini termasuk bau minyak wangi yang kuat, racunserangga, pewangi udara, cat dan apa sahaja yang keluar dari tin aerosol.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Gunakan produk yang tidak mengandungi wangian
  • Gunakan produk hanya bila pesakit asma tidak berdekatan
  • Gunakan produk di dalam kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik (seperti kawasan luar rumah, di dalam bilik dengan tingkap terbuka)
Pencemaran Udara/ Jerebu

Terdapat banyak komponen yang membentuk pencemaran udara. Ini semua boleh mencetuskan asma sama ada sebagai faktor individu ataupun dengan kombinasi dengan faktor lain.

Pencemaran udara di luar biasanya disebabkan oleh partikel kecil yang hadir apabila berlakunya pembakaran terbuka, barbeku, habuk, asap kenderaan, kilang dan kilang penjanakuasa.
Tahap pencemaran adalah paling tinggi berdekatan jalan raya yang sibuk atau semasa jerebu.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Pantau tahap pencemaran udara yang sedang berlaku di luar (melalui laman web Indeks Kualiti Udara atas talian)
  • Elak daripada melakukan aktiviti luaran ketika pencemaran udara berada di tahap tinggi
  • Hanya berada di luar apabila keadaan udara kurang tercemar (contohnya mengelakkan waktu puncak)
Cuaca

Berjalan daripada suhu bilik yang sejuk kepada suhu yang panas (dan sebaliknya) boleh mencetuskan asma. Faktor lain termasuklah pendedahankepada cuaca berangin dan ribut dan juga tahap kelembapan yang tinggi.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Elakkan daripada bersilih ganti antara bilik sejuk dan panas
Jangkitan dada

Asma boleh dicetuskan oleh demam selsema, atau jangkitan telinga, hidung dan tekak (ENT). Kebanyakkannya adalah virus secara semulajadi dan tidak memerlukan antibiotik, tetapi mungkin memerlukan rawatan tambahan untuk asma anda.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Basuh tangan anda dengan kerap
  • Elak berada berdekatan dengan orang yang mempunyai jangkitan dada
  • Dapatkan vaksin selsema dan pneumokokal
Di tempat kerja

Sesetengah orang mempunyai simptom asma berkaitan dengan tempat kerja mereka. Termasuklah mereka yang mendapat asma akibat sifat pekerjaan mereka dan mereka yang memang sudahpun mengidap asma tetapi ia bertambah buruk akibat kerja yang mereka lakukan

Apa yang boleh dilakukan?
  • Jauhi benda-benda yang boleh mencetuskan simptom asma anda
  • Ambil ubat asma anda
  • Gunakan Pelan Tindakan Asma bertulis untuk membantu anda menguruskan asma anda
Emosi

Tekanan, kemurungan dan juga ketawa boleh mencetuskan asma.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Kawal asma anda dengan mengambil ubat anda
  • Urus asma anda dengan bantuan Pelan Tindakan Asma bertulis
  • Cuba cari cara lain untuk mengawal tekanan anda (seperti yoga, berenang dan berbasikal). Sekiranya perlu, jumpa pakar psikologi yang mungkin boleh membantu lagi keadaan.
Hormon

Wanita mungkin akan melihat perubahan pada asma mereka apabila tahap hormon wanita (estrogen dan progeteron) berubah. Ini berlaku sekitar umur baligh, semasa haid, hamil dan menopaus. Sepanjang masa ini, wanita mungkin akan mengalami sensitiviti yang lebih tinggi terhadap pencetus atau mungkin mereka akan mendapati serangan asma berlaku lebih mudah.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Gunakan diari aliran puncak untuk membantu anda mengenal pasti perubahan di sekitar waktu haid
  • Gunakan Pelan Tindakan Asma bertulis untuk mengesan simptom asma anda dan ubah rawatan dengan sewajarnya.
Bersenam

Sesetengah orang yang mengidap asma mendapati akitiviti fizikal/senaman mencetuskan asma mereka. Secara teori, sebarang bentuk aktiviti fizikal - daripada berjalan atau memanjat tangga kepada bermain bola atau badminton - boleh mencetuskan simptom asma atau serangan asma.

Apa yang boleh dilakukan?
  • Ambil ubat anda seperti yang telah dipreskripsikan oleh doktor anda
  • Periksa dengan doktor anda cara anda menggunakan ubat sedutan adalah betul
  • Dapatkan pemeriksaan asma yang kerap
  • Panaskan badan secukupnya sebelum bersenam
  • Gunakan ubat sedutan anda sebelum mulakan senaman (anda perlu berbincang dengan doktor anda)
  • Jika anda bermain sukan di dalam persekitaran yang sejuk, pakailah topeng muka
  • Gunakan ubat montelukast untuk mencapai kawalan asma yang lebih baik; ia juga bagus untuk asma akibat-senaman (anda perlu berbincang dengan doktor anda)
Alahan pada makanan dan ubat-ubatan

Alahan pada makanan boleh mencetuskan pelbagai reaksi - dari yang ringan sehingga yang boleh mengancam nyawa. Simptom asma yang disebabkan oleh alahan makanan sering diiringi ruam, gatal-gatal, mual, cirit-birit dan muntah-muntah. Sekiranya alahan makanan tidak dirawat segera, anafilaksis mungkin akan berlaku, ini akan membawa kepada bengkak dan penyempitan saluran pernafasan, dan akhirnya akan memutuskannya.

Makanan yang paling biasa dikaitkan dengan simptom alahan ialah telur, susu, kacang tanah, soya, gandum, ikan, udang dan makanan laut ‘shellfish’ lain, salad dan sesetengah buah-buahan segar.

Apa yang boleh dilakukan?

  • Kenalpasti dan elakkan pencetus makanan anda (doktor anda boleh lakukan ujian alahan)
  • Baca label makanan dan ketahui bagaimana makanan disediakan semasa anda makan
  • Sekiranya simptom alahan adalah sangat serius, anda mungkin perlu sentiasa membawa Adrenaline EpiPen (rujuk doktor anda jika perlu)

Sekiranya dunia ini sempurna, kita akan mampu mengelakkan pendedahan kepada semua pencetus. Malangnya, beberapa pencetus seperti pencemaran udara, kutu debu, penghawa-dingin dan cuaca sejuk adalah sebahagian daripada kehidupan. Oleh itu, amatlah penting untuk mengambil langkah-langkah pemulihan seperti:

  • Mengambil ubat sedutan pengawal setiap hari
  • Gunakan Pelan Tindakan Asma bertulis
  • Dapatkan pemeriksaan tahunan