Diagnosa Asma
Asma adalah diagnosis klinikal. Dalam erti kata lain, simptom atau tanda-tanda dan penemuan klinikal digunakan untuk mendiagnosis penyakit seseorang. Jika anda mengesyaki bahawa anda ataupun anak anda menghidap asma, doktor anda akan dapat memberikan diagnosis berdasarkan sejarah perubatan dan keluarga anda, ujian fizikal dan keputusan dari ujian ke atas anda.
Doktor anda juga akan dapat memberitahu tahap keterukan asma anda. Tahap keterukan - sama ada ia kadang-kala, ringan, sederhana atau teruk - juga akan menentukan pilihan rawatan yang sesuai dengan keadaan anda.
Apakah Kaedah Yang Biasa Digunakan Untuk
Mendiagnosiskan Asma ?

Sejarah Pesakit Dan Perubatan

Ujian Pernafasan

Pemeriksaan Fizikal

Sejarah Pesakit Dan Perubatan
Doktor anda mungkin akan bertanya tentang sejarah keluarga anda sama ada mereka menghidap asma ataupun apa-apa alahan. Dia juga mungkin akan bertanya sama ada anda mengalami apa-apa tanda asma, bagaimana dan bila ia berlaku.
Sejarah pesakit biasa mungkin termasuk:
- Simptom atau tanda-tanda yang datang dan pergi, biasanya lebih teruk pada waktu malam.
- Batuk
- Nafas berdehit (wheezing)
- Kesukaran untuk bernafas
- Simptom yang dicetuskan oleh benda-benda atau acara tertentu seperti bersenam, udara sejuk atau pendedahan kepada sebarang alergen (pencetus alergi).
- Sejarah pesakit atau keluarga yang menghidap asma, rhinitis/resdung dan/atau ekzema.
Ujian Pernafasan
Doktor rawatan anda akan menjalankan ujian pernafasan yang dikenali sebagai “spirometry” untuk mengesahkan anda sebagai pesakit asma. Ujian “Spirometry” adalah untuk menilai fungsi paru-paru anda.
Ujian ini mengukur berapa banyak udara yang anda boleh sedut, berapa banyak yang anda boleh hembus dan berapa banyak udara yang anda boleh hirup dalam satu nafas paksa. Doktor rawatan anda mungkin mengulangi ujian ini selepas anda diberikan ubat (disedut atau nebulisasi) untuk membuka saluran pernafasan anda.
Jika terdapat bukti bahawa saluran pernafasan anda terbuka dan fungsi paru-paru anda bertambah baik dengan ubat ini, maka ia membantu mengesahkan diagnosis asma. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menghidap asma dengan fungsi paru-paru yang normal! Inilah sebabnya anda memerlukan doktor untuk mengesahkan diagnosis asma.


Pemeriksaan Fizikal
Doktor anda akan mendengar pernafasan anda dan cuba mencari sebarang simptom-simptom asma atau alahan. Simptom-simptom ini termasuklah nafas berdehit (wheezing), hidung berair atau saluran hidung bengkak, dan keadaan alahan kulit (seperti ekzema). Amatlah penting untuk anda mengambil perhatian bahawa anda masih boleh menghidap asma walaupun simptom-simptom ini tidak dikelihatan pada hari pemeriksaan fizikal dijalankan.

Adakah Mereka Akan Menguji Untuk Keadaan Lain?
Doktor anda mungkin akan mengesyorkan ujian lain jika dia memerlukan lebih banyak maklumat untuk membuat diagnosis. Ujian lain mungkin termasuk:
- Nitric Oxide yang dihembus – ujian tiupan yang menilai kadar keradangan saluran pernafasan asma.
- Ujian alahan – ujian yang mengenal pasti alergen tertentu yang mungkin menyebabkan keterukan asma atau kemerosotan gejala.
- Elektrokardiogram (ECG) – ujian yang mengesan sebarang tanda irama jantung yang tidak normal dimana mungkin mencetus gejala sesak nafas.
- X-ray dada – untuk memastikan tiada sebab lain yang menyebabkan kesesakan pernafasan.